SharePoint
A- A A+
Home > About TTSH > News > Dedikasi selama 40 tahun raih pengiktirafan tertinggi Anugerah Presiden bagi Jururawat
PENGIKTIRAFAN TERTINGGI: Cik Nirmala (dua dari kiri) menerima Anugerah Presiden bagi Jururawat dari Presiden Halimah yang turut dihadiri Encik Ong (kiri) dan Cik Koh. – Foto TTSH

Berita Harian (27 July 2022)

CIK Nirmala Karmaroon berasakan pandemik Covid-19 yang melanda ternyata menguji keupayaan dan respons daripada semua kakitangan dalam sesebuah institusi jagaan kesihatan. Bagi Timbalan Pengarah Kejururawatan di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) itu, kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan segala perancangan dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan semasa berlakunya krisis.

Malah, ibu empat anak yang kini berusia 56 tahun itu, berserta pasukannya terpaksa bekerja sehingga lewat malam sepanjang dua tahun lalu, di kemuncak pandemik Covid-19 bagi membuat pelbagai perancangan dan respons semasa pandemik mula melanda.

“Memang sejak pandemik melanda, tugasan amat mencabar buat semua kakitangan jagaan kesihatan. “Namun, kami semua berupaya mengahurungi liku-liku sukar hasil kerjasama dan sokongan semua pihak.

“Ia bukan sekadar di peringkat perancangan, malah seluruh kakitangan di TTSH bekerjasama bak semangat kampung yang wujud,” katanya dengan penuh bersemangat semasa dihubungi.

Tidak hairanlah di atas dedikasinya itu, Cik Nirmala yang sudah bekerja dalam perkhidmatan kejururawatan sejak 40 tahun lalu, telah terpilih selaku salah seorang daripada enam jururawat yang menerima Anugerah Presiden bagi Jururawat untuk tahun ini – pengiktirafan tertinggi dalam kerjaya kejururawatan Singapura.

Presiden Halimah Yacob telah menyampaikan anugerah-anugerah tersebut kepada para penerima dalam satu acara penganugerahan di Istana.

Turut hadir termasuk Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung serta Ketua Pegawai Kejururawatan, Cik Paulin Koh.

Antara pencapaian Cik Nirmala termasuk menguruskan perancangan tenaga kerja bagi memastikan jagaan pesakit dapat dikekalkan di samping mengimbangi kehidupan dan pekerjaan para jururawat.

Namun bagi Cik Nirmala, bukan sekadar kakitangan hospital sahaja penting, malah sokongan keluarga turut memainkan peranan baginya melaksanakan tugas dengan lancar. “Saya sering juga pulang lewat, namun mujur buat saya, suami tersayang sentiasa menjadi teman setia saya selama ini.

“Kalau saya pulang lewat, beliaulah yang menjadi pemandu saya,” katanya lagi dengan nada tenang. Anugerah Nasional itu mengenal pasti jururawat yang telah menunjukkan kelakonan serta sumbangan cemerlang kepada khidmat jagaan pesakit, pendidikan, kajian dan pentadbiran.

Para penerima tahun ini termasuk lima daripada hospital akut dan seorang pendidik kejururawatan. Seorang lagi penerima ialah Klinisian Jururawat Kanan di Institut Kesihatan Mental (IMH), Encik Aziz Ab Hamed, 60 tahun.

Antara pencapaiannya sepanjang 30 tahun, Encik Aziz dikatakan telah menyumbang dalam transformasi jagaan kepada model pemulihan di satu-satunya hospital psikiatri di Singapura.

Anugerah Presiden dimulakan pada 2000 dan sejak itu ia telah mengiktiraf 90 penerima termasuk mereka yang menerimanya tahun ini.
















2022/07/28
Last Updated on