SharePoint
A- A A+
Home > About TTSH > News > Jururawat bertudung semasa bertugas diterima baik semua pihak
​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​
BH01082024_img1.jpg
Jururawat klinisian di Hospital Tan Tock Seng, Cik Rosaida Said (kanan), berkata memakai tudung di tempat kerja tidak menghalangnya melaksanakan tugasan hariannya. – Foto HOSPITAL TAN TOCK SENG​

​Berita Harian (1 August​ 2024)
​​ ​

Ketika Cik Rosaida Said,jururawat klinisian (pakar) di Hospital Tan Tock Seng, mula memakai tudung bersama seragamnya semasa bertugas,ada rakan kerja tidak menyapanya kerana tidak mengenali beliau.

Malah ada rakan yang telah lama dikenalinya langsung tidak menegur sapa.

Namun, mujurlah penampilan baru Cik Rosaida itu pantas diterima oleh kakitangan lain di wad beliau bertugas dan perkara seperti itu tidak lagi berlaku pada masa ini, kata beliau.

“Pada awalnya,rakan kerja rasa terkejut melihat jururawat Muslimah memakai tudung bersama seragam sebab ia adalah sesuatu yang baru.

“Sehingga kini, saya belum menerima maklum balas negatif daripada sesiapa sama ada doktor, ahli terapi atau pesakit. Semua orang menyambutnya dengan baik dan senang hati kami boleh memakai tudung semasa bertugas.” – Cik Rosaida Said, jururawat pakar di Hospital Tan Tock Seng.

“Bahkan, ada juga yang tidak mengenali kami. Tetapi, lama-kelamaan, mereka menjadi biasa dengan imej baru kami,” kata Cik Rosaida, yang sudah 18 tahun menceburi bidang kejururawatan.

“Sehingga kini, saya belum menerima maklum balas negatif daripada sesiapa sama ada doktor,ahli terapi atau pesakit. Semua orang menyambutnya dengan baik dan senang hati kami boleh memakai tudung semasa bertugas,” ujarnya lagi.

Tugas harian Cik Rosaida termasuk menjaga pesakit barah dan menguruskan pesakit yang dibenarkan keluar dari hospital.

“Dari segi menjalankan tugas, tiada masalah walaupun pada waktu kecemasan atau apabila kami perlu menyediakan penjagaan tambahan kepada pesakit,” ujar beliau.

“Jururawat kami telah menyesuaikan diri dengan baik untuk memakai tudung dan mematuhi keperluan seragam.” – Kenyataan jurucakap Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS).

Cik Rosaida, 37 tahun, telah tampil berhijab sejak 2013 tetapi hanya dapat memakai tudung di tempat kerja pada 2021.

Jururawat yang bekerja dalam sektor jagaan kesihatan awam seperti Cik Rosaida dibenarkan memakai tudung di tempat kerja – jika mereka mahu – sejak 1 November 2021, kurang tiga bulan selepas Perdana Menteri pada ketika itu, Encik Lee Hsien Loong, mengumumkannya sewaktu Rapat Hari Kebangsaan (NDR).

Dalam ucapannya di NDR 2021, Encik Lee, kini Menteri Kanan, memberitahu beliau pernah mengadakan sesi dialog tertutup dengan pemimpin agama di mana perbincangan diadakan secara terbuka dan telah menyatakan pendirian pemerintah berkaitan isu pemakaian tudung bagi pegawai dalam pekerjaan berseragam tidak statik.

“Langkah ini juga telah membolehkan kami mengukuhkan perpaduan dan keterangkuman dalam kalangan tenaga kerja kejururawatan kami yang pelbagai kaum.” – Profesor Tracy Carol Ayre, Ketua Kumpulan Jururawat di SingHealth.

Namun, perubahan dasar dan polisi mesti dilakukan secara teliti dan berhati-hati.

Menurut Encik Lee, beliau memahami perasaan masyarakat Melayu/Islam berhubung perkara tersebut dan pemerintah turut mempunyai beberapa keprihatinan di peringat nasional dan juga yang khusus.

Sebagai contoh,kata Encik Lee,pesakit di hospital perlu menganggap semua jururawat sebagai sama dan pada masa yang sama, jururawat perlu berasa selesa menjaga semua pesakit, tidak kira kaum atau agama.

Pemerintah enggan perbezaan ketara dari segi pakaian jururawat membuat perkara ini lebih sukar dicapai.

Dari April hingga Ogos 2021, perundingan yang meluas telah dijalankan oleh Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan (ISC) yang dilantik Kementerian Kesihatan (MOH) serta Panel Penasihat Klinikal (CAP) untuk membangunkan garis panduan klinikal dan pelaksanaan pemakaian tudung dalam sektor penjagaan kesihatan.

Di SingHealth, yang antaranya mengendalikan Hospital Besar Singapura dan Hospital Besar Changi, dialog diadakan bersama jururawat Muslimah untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai perkara seperti jenis kain dan warna tudung.

Jururawat juga menghadiri taklimat yang meluas mengenai garis panduan baru sebelum ia dilaksanakan.

Ketua Kumpulan Jururawat di SingHealth, Profesor Tracy Carol Ayre, berkata: “Dialog ini membolehkan kami memahami dengan lebih baik kebimbangan dan keutamaan mereka.

“Langkah ini juga telah membolehkan kami mengukuhkan perpaduan dan keterangkuman dalam kalangan tenaga kerja kejururawatan kami yang pelbagai kaum.”

Pada 2022, MOH berkata sekitar 20 peratus kakitangan penjagaan kesihatan awam Muslimah telah mula memakai tudung dengan seragam mereka.

Apabila dihubungi Berita Harian (BH) baru-baru ini, pengendali hospital awam dan swasta berkata mereka tidak mengumpul data mengenai jumlah jururawat Muslim yang memakai tudung.

Namun,kesemuanya berkata perkembangan itu telah ‘disambut baik’.

“Kami tidak menjejaki secara aktif jumlah jururawat yang memakai tudung (bersama seragam semasa bertugas) kerana ia adalah keputusan peribadi,” kata seorang jurucakap Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS).

“Sejak dasar seragam dikemas kini pada 2021, kami memerhatikan bahawa inisiatif itu telah diterima baik dalam kalangan jururawat di pelbagai hospital kami,” tambahnya.

Hospital Universiti Nasional, Hospital Besar Ng Teng Fong dan Hospital Alexandra adalah antara institusi penjagaan pesakit di bawah NUHS.

“Jururawat kami telah menyesuaikan diri dengan baik untuk memakai tudung dan mematuhi keperluan seragam,” kata jurucakap NUHS.

NUHS berkata kebanyakan jururawat yang memakai tudung di tempat kerja memilih tudung yang diperbuat daripada bahan dri-fit atau yang mudah kering, selesa dan boleh diselitkan dengan kemas ke dalam pakaian seragam mereka.

“Dasar seragam yang disemak semula mencerminkan komitmen kami terhadap tenaga kerja yang inklusif, membolehkan jururawat Muslimah mengamalkan agama mereka sambil meneruskan kerjaya mereka,” tambah jurucakap itu.

Penyedia penjagaan kesihatan swasta di Singapura, IHH Healthcare, juga memberikan sentimen serupa.

Pengarah Kejururawatan di IHH Healthcare Singapura, Cik Sally Lim, berkata mereka tidak menjejaki bilangan jururawat Muslimah yang memakai tudung ketika bertugas “kerana kami menghormati keputusan pekerja kami dan tidak melihat perbezaan antara jururawat yang memakai tudung dan mereka yang tidak”.

“Kod pakaian baru itu telah diterima baik oleh jururawat sejauh ini dan tidak terdapat maklum balas daripada pesakit dan kakitangan bahawa pemakaian tudung menghalang penyediaan penjagaan,” ujarnya.

​IHH Healthcare mengendalikan Hospital Gleneagles, Hospital Mount Elizabeth, Hospital Mount Elizabeth Novena dan Hospital Parkway East,antara lain.

​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​
BH01082024_img2.jpg
Cik Murniyati Rapsen, jururawat klinisian di Hospital Besar Ng Teng Fong, sudah 32 tahun menceburi bidang kejururawatan. – Foto BH oleh KHALID BABA​​


Senang hati dapat pakai tudung semasa kerja

Jururawat klinisian (pakar) di Hospital Besar Ng Teng Fong, Cik Murniyati Rapsen pernah berasa serba salah dan kekok apabila terserempak dengan anggota keluarga semasa bertugas di hospital.

Beliau biasanya memakai tudung di luar waktu bertugas, tetapi semasa bertugas, beliau tidak berbuat demikian. Ini berlaku sebelum jururawat dalam sektor kesihatan dibolehkan memakai tudung bersama seragam mereka semasa bertugas sejak 1 November 2021.

“Sebelum November 2021, saya akan memakai tudung apabila keluar rumah, tetapi tidak boleh memakainya semasa bekerja.

“Jadi, apabila berjumpa dengan anggota keluarga yang dimasukkan ke wad, saya fikir, ‘Alamak, mereka melihat saya tanpa pakai tudung’.

“Ia rasa tidak elok,” kongsi Cik Murniyati, yang sudah 32 tahun menceburi bidang kejururawatan, kepada Berita Harian (BH).

Justeru, Cik Murniyati, ibu empat anak, tidak teragak-agak memilih untuk memakai tudung semasa bertugas apabila ia dibenarkan.

Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, yang pada ketika itu masih mendukung jawatan Perdana Menteri, mengumumkan di dalam Rapat Hari Kebangsaan (NDR) pada 29 Ogos 2021 jururawat dan pegawai di dalam sektor kesihatan boleh memakai tudung jika mereka mahu bermula 1 November 2021.

Sebenarnya, Cik Murniyati, yang tampil berhijab sejak 1996, ada pengalaman memakai tudung semasa memakai pakaian seragam semasa melaksanakan tugas sebagai jururawat di luar negara.

Beliau telah menyertai dua misi perubatan Haji yang dikendalikan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada 2015 dan 2018.

“Saya rasa nikmat diberi peluang mengikuti misi perubatan di Arab Saudi dan berbesar hati dapat memakai hijab semasa menjalankan tugas kejururawatan.

“Saya berdoa agar suatu hari nanti saya dikurniakan hidayah dapat berhijab di tempat kerja,” kata beliau.

Beliau berkata pengalamannya memakai tudung semasa bertugas amat positif sejauh ini. Cik Murniyati ditugaskan di wad pesakit buah pinggang.

Beliau menyelia rancangan penjagaan dan pelepasan pesakit sambil menyediakan penyeliaan dan bimbingan kepada kakitangannya dalam hal standard klinikal dan keselamatan pesakit.

Menurut Cik Murniyati, jururawat dinasihati mengenai jenis kain dan gaya tudung yang boleh dipakai semasa bertugas.

Tudung yang dipakai tidak boleh menggunakan pin, diperbuat daripada fabrik yang menyejukkan dan perlu kemas, dengan menyelitkan tudung ke dalam pakaian seragam mereka.

“Saya tidak melihat sebarang perubahan dalam menjalankan tugas.

Memakai tudung semasa bertugas tidak menjejas tugas harian kami,” jelas beliau.

“Pemakaian tudung mungkin menyebabkan rasa sedikit panas di tempat kerja tetapi ia ada kebaikannya.

​Dengan memakai tudung, rambut kami tidak mudah berselerak dan kami kelihatan lebih kemas,” tambahnya.
















2024/08/02
Last Updated on