Berita Harian (28 September 2024)
Kes barah buah dada telah meningkat
tiga kali ganda sejak 50 tahun
lalu, menggariskan kepentingan
ujian mamogram dalam kalangan
wanita.
Demikian ditekankan isteri Presiden
Tharman Shanmugaratnam, Puan
Jane Ittogi semasa pelancaran Bulan
Kesedaran Barah Buah Dada Kebangsaan
(NBCAM) 2024 pada 27
September.
Dalam ucapannya kepada sekitar
100 hadirin dalam acara yang diadakan
di Bugis Junction itu, Puan Ittogi
turut menekankan kepentingan bagi
wanita mengenali risiko barah buah
dada dan pengesanan awal.
“Adalah penting bagi wanita memahami
badan mereka, dengan melihat
jika ada perubahan dari segi rupa
dan keselesaan buah dada mereka,
supaya mereka dapat mengesan
awal dan berjumpa doktor secepat
mungkin.
“Saya menggalakkan kita semua
supaya memainkan peranan dalam
meluaskan usaha mencegah barah
buah dada pada peringkat lebih
awal,” tambah Puan Ittogi.
Dalam satu sidang media sebelum
acara pelancaran itu, Pengerusi
Jawatankuasa Penganjur NBCAM
2024 yang juga Konsultan Kanan,
Pembedahan Buah Dada dan Endokrin
di Hospital Tan Tock Seng, Profesor
Juliana Chen, berkata:
“Kaum wanita perlu mengutamakan
diri mereka dan menjadi penyokong
terbesar bagi diri sendiri.
“Inilah yang kami harapkan dengan
tema ‘Memperkasa Wanita’
yang disampaikan kepada orang ramai.
“Daripada pemeriksaan awal, diagnosis,
rawatan, dan ketahanan, barah
buah dada bukanlah satu perjalanan
yang harus dilalui oleh wanita
secara bersendirian.
“Keluarga, rakan dan saudaramara
harus menggalakkan wanita
dalam kehidupan mereka menjalani
pemeriksaan buah dada secara tetap,
dan berada di sisi mereka jika mereka
disahkan menghidap barah buah
dada,” kata Cik Juliana.
Di samping itu, Puan Ittogi melancarkan
lebih 20 kegiatan yang bakal
diadakan di seluruh negara sepanjang
Oktober bagi menggalakkan
dan meningkatkan lagi kesedaran
tentang ujian mamogram.
Menurut Tinjauan Kesihatan Penduduk
Nasional 2023, hanya sekitar
30 peratus wanita Singapura berusia
antara 50 dengan 69 tahun telah
menjalani ujian mamogram dalam
tempoh dua tahun yang lalu.
Ini merupakan satu trend penurunan
berbanding tahun sebelumnya.
Menurut tinjauan itu, kadar penyertaan
pemeriksaan barah buah
dada dalam kalangan masyarakat
Melayu adalah paling rendah dalam
tempoh tiga tahun, dengan hanya
16.9 peratus berbuat demikian.
Kadar pemeriksaan yang rendah
dalam kalangan wanita di Singapura
boleh dikaitkan dengan beberapa
faktor, antaranya termasuk rasa kurang
perlu menjalani pemeriksaan
mamogram,takut berasa sakit apabila
menjalaninya dan apabila mendapat
tahu keputusan diagnosis.