Berita Harian (19 April 2022)
KLINIK bagi Terapeutik Pemulihan Semula Lanjutan (Cart) di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) yang berusia 10 tahun, adalah model yang berjaya kerana antara lain, ia menggabungkan pendekatan perubatan konvensional dengan teknologi pemulihan khusus seperti robotik dan realiti terimbuh, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.
Ini telah membantu mempertingkatkan diagnosis pesakit serta membolehkan pesakit pulih semula menerusi terapi di rumah dan tanpa ke klinik.
Ini semakin penting sedang permintaan untuk khidmat bagi pemulihan semula dijangka terus meningkat, menurut Encik Ong semasa majlis pembukaan semula Cart di ruang baru, yang juga menyambut ulang tahunnya yang ke-10.
Premis baru Cart di bangunan Pusat Geriatrik TTSH itu, adalah empat kali lebih besar berbanding ruang lamanya di bangunan Pusat Perubatan TTSH dan dilengkapi dengan robot pemulihan semula yang canggih.
Encik Ong berkata dengan premis lebih luas, klinik itu bukan hanya dapat membantu bermacam pesakit, ia juga memberikan pesakit luar akses lebih cepat kepada khidmat pemulihan semula. Menurut beliau, salah satu faktor menjadikan Cart satu model yang berjaya ialah teknologi.
"Cart menggabungkan pendekatan perubatan dan pemulihan semula dengan teknologi pemulihan semula khusus seperti robotik dan realiti terimbuh.
"Teknologi ini membaiki diagnosis dan pemantauan pesakit dan membolehkan pesakit lama-kelamaan mengawal semula pergerakan dan kekuatan mereka melalui terapi di rumah dan tanpa ke sebuah klinik," ujar Encik Ong.
Satu contoh ialah robot pemulihan semula lengan mudah alih, H-Man, yang boleh dipasang di rumah. Ia membantu pesakit mengukuhkan semula kekuatan tangan dan lengan semasa bermain menggunakan kayu bedik (joystick).
Satu lagi faktor kejayaan Cart ialah tenaga kerja dan bakat.
Encik Ong menekankan teknologi harus seiring dengan karyawan penjagaan pemulihan semula yang terlatih dan komited.
"Keperluan tenaga kerja penjagaan kesihatan semakin meningkat dalam sistem eko kesihatan kita, termasuk khidmat pemulihan semula.
"Kami akan terus bekerjasama dengan rakan latihan dan institusi pendidikan tinggi untuk menyediakan latihan dan peluang pembangunan bukan hanya untuk pelajar tetapi individu kerjaya pertengahan yang berminat memasuki dan menyumbang kepada sektor itu,” terangnya.
Menurut Encik Ong lagi, kerjasama dengan masyarakat juga penting.
"Dengan bilangan penduduk semakin menua meningkat dan lebih ramai berpenyakit kronik, permintaan untuk khidmat pemulihan semula akan bertambah.
"Pemulihan semula harus dijadikan lebih mudah diakses untuk golongan pesakit lebih luas, khususnya warga emas yang menjadi lebih lemah selepas penyakit akut.
"Menerusi kerjasama masyarakat, kita dapat mengubah model penjagaan agar lebih mudah diakses kepada pesakit bukan hanya di hospital, tetapi juga dalam masyarakat," tambahnya.
Dalam hal ini, Cart menjalin perjanjian memorandum persefahaman (MOU) dengan Stroke Support Station (S3) – satu-satunya agensi kemasyarakatan pemulihan semula tertumpu kepada pesakit angin ahmar – untuk merujuk atau membantu pesakit angin ahmar dibenarkan pulang dari hospital untuk kegiatan pemulihan semula atau kesejahteraan yang berterusan.
Di bawah satu lagi MOU di antara Cart dengan syarikat Fourier Intelligence, model penjagaan baru yang menjadikan terapi robotik lebih mapan dan mudah diakses oleh pesakit dalam masyarakat boleh dijangkakan.
Cart dijangkakan menerima 30,000 pesakit setiap tahun bagi tahun depan hingga 2030. Sejak sedekad lalu, Cart telah menerima lebih 75,000 penyertaan pesakit.
Keadaan fizikal bertambah baik selepas jalani terapi
APABILA Encik Jo (bukan nama sebenar) ditimpa penyakit angin ahmar pada September tahun lalu, ia memberi kesan pada bahagian lengan dan tangan kanannya yang menjadi lemah dan jarinya sukar bergerak seperti biasa.
Namun selepas menjalani rawatan terapi di Klinik bagi Terapeutik Pemulihan Semula (Cart) Lanjutan di Hospital Tan Tock Seng (TTSH), keadaan fizikal bujang berusia 40 tahun itu sudah bertambah baik.
Ini khususnya dengan bantuan mesin Amadeo, kini tangan kanannya sudah kembali kuat manakala jari-jemari dapat bergerak seperti biasa.
Ini sekaligus membolehkannya menjalankan tugas harian mudah seperti memegang cawan dan memasak.
Amadeo, adalah di bawah program mengukuhkan semula lengan dan tangan yang menggabungkan pendekatan robotik, permainan interaktif dan terapi konvensional dengan tumpuan kepada fungsi lengan dan tangan.
Misalnya, Amadeo memberi sokongan kepada jari-jari pesakit untuk latihan yang aktif, pasif dan resistif.
Mengimbas kembali pengalamannya dilanda angin ahmar, Encik Jo yang bertugas sebagai jurujual, berkata beliau berada di tempat kerja pada masa itu.
"Saya bangun dari tempat duduk untuk berjalan ke bilik lain kerana mahu membuat air, tibatiba badan saya rasa lain macam, seperti tidak sihat.
"Saya cuba mengangkat tangan kanan saya tetapi tidak boleh dan saya cuba untuk melangkah tetapi saya ibarat mengheret kaki kerana terlalu berat untuk bergerak.
"Pada masa itu, saya sudah rasakan yang saya kena angin ahmar sebab dahulu saya pernah menjadi medik dan sudah belajar tentang tanda-tandanya. Saya terus mendapatkan bantuan kawan di tempat kerja dan terus dihantar ke hospital," katanya yang dipercayai dilanda angin ahmar kerana jantung lemah dan darah yang pekat.
Selepas dibenarkan pulang dari hospital pada November, Encik Jo terus bersungguh-sungguh dan rajin melakukan terapi di Cart.
Disebabkan kesannya yang lebih teruk pada fungsi tangan kanan, terapis di klinik itu menggunakan mesin Amadeo dalam sesi rawatan dan terapi bersama beliau.
Hasil terapi dua kali seminggu, keadaan Encik Jo boleh dianggap sudah hampir pulih kerana mencapai tahap kemajuan yang signifikan.
"Sebelum ini doktor ada katakan yang mungkin hanya 70 peratus daripada fungsi tangan yang kembali normal," ujarnya.
Namun Encik Jo tidak patah semangat dan yakin pada kemampuannya untuk pulih.
"Saya fikir ini bergantung kepada minda dan pemikiran kita. “Saya percaya kalau hendak baik, saya boleh dan saya harus bekerja keras untuk pulihkan diri.
"Alhamdulillah, sekarang saya sudah boleh memasak dan buat air sendiri," jelas anak kedua dalam empat beradik itu.
Menurut Encik Jo, penggunaan teknologi seperti Amadeo banyak memberi manfaat dan berguna dalam sesi rawatan terapinya.
"Sebelum ini, memanglah saya tidak tahu ada penggunaan robotik dalam terapi seperti ini. Jadi selepas saya laluinya sendiri, saya banyak membaca dan mengkaji tentangnya.
"Dan saya adalah bukti keberkesanan teknologi ini, kini saya sudah bertambah pulih dengan bantuannya,” tambah Encik Jo.
Beliau yang menyertai program kembali ke kerja, berharap untuk kembali ke kerja selepas Mei ini.