Berita Harrian (20 July 2020)
SEBAGAI seorang jururawat veteran yang berpengalaman selama 35 tahun, Cik Marimah Rahmat percaya bahawa masih banyak yang perlu dipelajarinya.
Ini penting terutama dalam arena perubatan yang menyaksikan penggunaan maklumat, alat dan teknologi terkini.
Memahami keperluan untuk terus meningkatkan kemahiran dan mempelajari teknologi baru ini, Cik Marimah telah kembali ke sekolah pada usia 48 tahun dahulu untuk melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana muda sains dalam Kejururawatan Amalan Profesional di Universiti Queen Margaret daripada Institut Pengurusan Asia Timur (EASB).
Walaupun beliau seorang jururawat veteran, Cik Marimah, kini berusia 56 tahun, berkata pembelajaran bagi seorang jururawat tidak akan terhenti dan akan terus menjadi perjalanan sepanjang hayat.
"Walaupun saya sudah bekerja lama sebagai jururawat, saya tidak boleh berhenti belajar. Saya perlu terus meningkatkan kemahiran saya untuk terus menyampaikan khidmat dan penjagaan yang terbaik bagi pesakit saya.
"Itulah antara motivasi bagi saya untuk melanjutkan pelajaran walaupun sudah berumur waktu itu," kata beliau, yang bertugas di Hospital Tan Tock Seng (TTSH).
Menurut Cik Marimah, citacita awalnya sejak kecil lagi adalah menjadi jururawat yang dapat merawat dan mengubati pesakit seperti ibunya yang mengalami fibroid iaitu sejenis ketumbuhan tidak mengakibatkan barah.
Dengan sikap tekun dan citacita tinggi, beliau menimba pengetahuan di sekolah jururawat dan menikmati kenaikan pangkat semasa bekerja.
Pada awal kerjayanya, beliau meraih pengalaman dalam bidang kejururawatan pediatrik dan neonatal serta rawatan pascapembedahan, wad pembedahan dan unit kecemasan intensif (ICU).
Kini Cik Marimah seorang jururawat klinik di teater pembedahan (pembedahan siang).
Beliau antara 100 jururawat yang menerima anugerah Merit Jururawat (NMA) yang diberikan Kementerian Kesihatan (MOH) tahun ini.
Ketika dihubungi baru-baru ini, Cik Marimah berkata beliau tidak menjangkakan mendapat anugerah ini.
"Saya terkejut juga tetapi saya gembira kerana usaha yang saya lakukan selama ini diberi penghargaan.
"Selama ini, apa yang saya lakukan adalah tanggungjawab saya sebagai seorang jururawat kepada pesakit saya," ujarnya.
Walaupun perjalanannya mencabar, ibu tiga orang anak itu berkata beliau tidak dapat melakukan demikian tanpa sokongan dan dorongan jururawat kanan serta keluarganya.
"Sebenarnya semasa saya muda lagi dan baru bermula di wad pediatrik, saya tidak mempunyai keyakinan dan hampir berputus asa. Tetapi saya rasa katakata semangat daripada mereka dulu telah mendorong saya untuk melakukan yang terbaik.
"Selain itu, keluarga saya memainkan peranan yang besar dalam membantu saya sepanjang perjalanan ini. Ibu bapa dan adikberadik saya telah banyak membantu saya semasa saya bekerja dan melanjutkan pelajaran. Saya tidak akan dapat mencapai matlamat saya tanpa bantuan mereka," jelas beliau.
Menurut Cik Marimah, beliau berharap dapat menjadi contoh bagi jururawat yang muda untuk terus berusaha dan meningkatkan kemahiran mereka tidak kira usia.
"Tidak semua orang boleh menjadi seorang jururawat. Ia memerlukan motivasi dan minat.
"Saya harap ramai akan terus mencari peluang meningkatkan kemahiran mereka dan terus membantu lebih ramai orang," ujarnya.
Walaupun saya sudah bekerja lama sebagai seorang jururawat, saya tidak boleh berhenti belajar. Saya perlu terus meningkatkan kemahiran saya untuk terus menyampaikan khidmat dan penjagaan yang terbaik bagi pesakit saya. Itulah antara motivasi bagi saya untuk melanjutkan pelajaran walaupun sudah berumur waktu itu."
– Cik Marimah Rahmat, jururawat klinik di teater pembedahan Hospital Tan Tock Seng (TTSH).