Berita Harian (8 Julai 2019)
LAHIRNYA normal.
Namun pendengaran Cik Latifah Mohd Akbar, 56 tahun, mula terjejas secara progresif ketika usianya menjangkau 10 tahun.
Pada usia 20an tahun, deria pendengaran pada kededua belah telinganya terjejas teruk secara tiba-tiba. Mujur baginya, meskipun telinga kanannya masih dapat dibantu alat pendengaran, telinga kirinya langsung tidak dapat mendengar.
“Saya tak pasti apa yang berlaku.
“Saya cuma tahu ketika itu saya perlu makan banyak ubat. Tahu-tahu sahaja, lama kelamaan pendengaran saya terjejas,” kata pekerja pembersihan itu lagi.
Cik Latifah yang telah berkahwin tapi tidak mempunyai anak menghidap sejenis penyakit aneh yang menyebabkan pendengarannya hilang secara progresif sejak dewasa.
Menurut Konsultan Kanan di Jabatan Otorhinolaringologi di Hospital Tan Tock Seng (TTSH), Dr Ho Eu Chin, penyakit yang dialami Cik Latifah itu amat aneh.
“Beliau menghidap masalah hilang pendengaran yang teruk meskipun dilahirkan tanpa masalah itu.
“Kami tidak tahu punca sebenarnya tapi mungkin beliau mempunyai genetik yang menyebabkannya hilang pendengaran.
“Keadaannya aneh dan beliau kemudian menjalani implan ‘cochlear’ pada 2003.
“Hanya satu peratus yang akan menghidap hilang pendengaran yang teruk sekali sehingga memerlukan implan “cochlear”.
“Yang lain meraih manfaat hasil daripada alat pendengaran,” katanya.
Antara simptom yang dialami sebelum dirawat termasuk sukar mendengar dan berkomunikasi dengan sesiapa dan Cik Latifah juga menghadapi masalah mendapatkan pekerjaan sebelum dirawat, kata Dr Ho lagi.
Di Singapura, dianggarkan seorang daripada setiap 1,000 bayi yang dilahirkan dengan masalah pendengaran yang teruk sehingga memerlukan implan “cochlear” semasa masih bayi.
“Sekiranya mereka tidak menerima implan tersebut lebih awal, mereka tidak akan dapat belajar mendengar atau berbual,” tambah Dr Ho.
Hasil alat bantuan pendengaran yang dipakai sejak betahun lamanya, Cik Latifah berkata beliau boleh mendengar lebih jelas ketika dalam kawasan sunyi, tapi menghadapi kesukaran apabila dalam kawasan yang bising.
“Kalau berbual dengan sesiapa pun saya perlu dengar dengan teliti, dan meminta individu yang berbual dengan saya agar bercakap lebih kuat pada saya. Tapi tidak terlalu kuat.
“Yang pasti alat pendengaran banyak membantu saya mendengar semasa berbual dengan sesiapa,” jelasnya lagi.
Cik Latifah berkata beliau biasanya akan membuka alat pendengaran itu ketika sebelum tidur dan memastikan ia dicaj selama tiga jam untuk digunakan keesokan harinya.
Cik Latifah akur deria pendengaran juga sama penting dalam kehidupan manusia, bagi memastikan keselamatan semasa di kawasan luar rumah.
“Ia dapat menambah kualiti kehidupan si pesakit. “Bayangkan bila seseorang itu tidak dapat mendengar, keselamatannya terutamanya semasa di jalan raya juga boleh terjejas.
“Bimbangnya tak dengar ada kenderaan berdekatan sedang bergerak. Tapi kalau dibunyikan honnya, saya pasti boleh dengar,” ujarnya.
Satu lagi isu sosial yang boleh timbul ialah beliau tidak menjawab panggilan seseorang yang mengenalinya.
Bukan kerana sombong, tapi kerana deria pendengaran yang kurang.
“Saya bukan enggan jawab atau menyapanya, tapi memang tidak dengar bila dipanggil dengan suara yang perlahan,” jelas Cik Latifah lagi.
Pesakit Melayu lebih teruk terjejas
PESAKIT Melayu mengalami masalah hilang pendengaran yang lebih teruk berbanding etnik lain. Mendedahkan demikian Konsultan Kanan di Jabatan Otorhinolaringologi, Hospital Tan Tock Seng (TTSH), Dr Ho Eu Chin, berkata turut membimbangkan ialah sepertiga daripada pesakit Melayu sudah mengalami hilang pendengaran yang teruk semasa kali pertama mendapatkan bantuan.
“Jumlahnya seganda lebih berbanding pesakit Cina, tiga kali ganda berbanding pesakit India dan empat kali lebih tinggi berbanding masyarakat lain,” katanya. Daripada 1,068 pesakit TTSH yang hilang pendengaran (berdasarkan kajian antara 2001 hingga 2013), dianggarkan masyarakat Melayu membentuk 31.2 peratus; berbanding Cina (15.3 peratus); India (10.8 peratus); dan lain-lain (7.7 peratus).
"Mereka yang hilang pendengaran lebih berkemungkinan mengalami masalah sosial terpinggir dan kurang interaksi sosial selain dengan keluarga. Mereka juga perlu mengalihkan fungsi kognitif kepada tumpuan mendengar yang kemudian mengalihkan pula tumpuan mereka daripada tugasan mental lain seperti memori dan mengimbas kembali kenangan.
– Dr Ho Eu Chin
Memetik kajian Universiti Johns Hopkins di Baltimore USA, Dr Ho berkata para individu yang mengalami hilang pendengaran berkemungkinan besar menghidap masalah demensia dan beberapa teori diketengahkan sebagai menyokong kajian tersebut.
“Mereka yang hilang pendengaran lebih berkemungkinan mengalami masalah sosial terpinggir dan kurang interaksi sosial selain dengan keluarga.
“Mereka juga perlu mengalihkan fungsi kognitif kepada tumpuan mendengar yang kemudian mengalihkan pula tumpuan mereka daripada tugasan mental lain seperti memori dan mengimbas kembali kenangan.
“Proses biologi saraf termasuk saluran arteri yang sempit dan pengaliran darah kepada otak yang terjejas, mungkin bertanggungjawab bagi kededua demensia dan hilang pendengaran,” katanya.
Namun, Dr Ho berkata pada masa ini masih belum jelas jumlah berlakunya demensia dalam kalangan mereka yang hilang pendengaran, dikaitkan dengan ketiga-tiga teori itu.
Berdasarkan kajian Kebajikan Warga Emas Singapura (WiSE) oleh Institut Kesihatan Mental (IMH) pada 2015, seorang daripada 10 orang berusia 60 tahun ke atas mengalami demensia.
Ini bermakna pada 2018, hampir 82,000 mengalami demensia dan angkanya dijangka bertambah dalam beberapa tahun akan datang.
Ditanya tentang trend masalah pendengaran di Singapura, Dr Ho yang memetik Kajian Kesihatan Nasional Singapura 2010, berkata hanya tiga peratus penduduk setempat yang mengalami hilang pendengaran, mengikut kriteria Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), memakai alat pendengaran.
Peratusan itu, tambahnya, amat rendah berbanding dengan negara maju yang lain di mana angkanya adalah antara 20 dengan 40 peratus.
Mengikut data pesakit yang pertama kali menggunakan alat pendengaran daripada TTSH, kadar usia mereka yang kali pertama tampil dapatkan bantuan bagi hilang pendengaran ialah 70 tahun dan masalah mereka amat teruk semasa kali pertama dapatkan bantuan.
“Lebih khusus lagi pesakit Melayu yang tampil menunjukkan hilang pendengaran yang lebih teruk berbanding pesakit etnik lain,” katanya tanpa memberikan sebarang jumlah.
Ditanya golongan pesakit hilang pendengaran mana yang lebih terdedah kepada demensia, Dr Ho berkata: “Mereka yang terasing secara sosial selain sokongan keluarga dan sosial yang lemah.
“Juga mereka yang mempunyai masalah perubatan lain terutamanya mereka yang mengalami saluran arteri yang sempit atau atherosklerosis.
“Mereka dengan saluran arteri yang sempit berisiko lebih tinggi menghidap angin ahmar atau strok yang boleh merosakkan kededua otak dan telinga.
“Demensia dan hilang pendengaran lebih kerap berlaku dalam kalangan pesakit yang menghidap strok.”