SharePoint
A- A A+
Home > About TTSH > News > Wanita perlu jalani mamogram, kesan barah buah dada awal
​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​
BH28092024_img1.jpg
Puan Jane Ittogi (empat dari kiri) semasa pelancaran Bulan Kesedaran Barah Buah Dada Kebangsaan (NBCAM) 2024 pada 27 September di Bugis Junction. – Foto BH oleh INSYIRAH MOHD SHUKOR

​Berita Harian (28 September​ 2024)​

Kes barah buah dada telah meningkat tiga kali ganda sejak 50 tahun lalu, menggariskan kepentingan ujian mamogram dalam kalangan wanita.

Demikian ditekankan isteri Presiden Tharman Shanmugaratnam, Puan Jane Ittogi semasa pelancaran Bulan Kesedaran Barah Buah Dada Kebangsaan (NBCAM) 2024 pada 27 September.

Dalam ucapannya kepada sekitar 100 hadirin dalam acara yang diadakan di Bugis Junction itu, Puan Ittogi turut menekankan kepentingan bagi wanita mengenali risiko barah buah dada dan pengesanan awal.

“Adalah penting bagi wanita memahami badan mereka, dengan melihat jika ada perubahan dari segi rupa dan keselesaan buah dada mereka, supaya mereka dapat mengesan awal dan berjumpa doktor secepat mungkin.

“Saya menggalakkan kita semua supaya memainkan peranan dalam meluaskan usaha mencegah barah buah dada pada peringkat lebih awal,” tambah Puan Ittogi.

Dalam satu sidang media sebelum acara pelancaran itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur NBCAM 2024 yang juga Konsultan Kanan, Pembedahan Buah Dada dan Endokrin di Hospital Tan Tock Seng, Profesor Juliana Chen, berkata: “Kaum wanita perlu mengutamakan diri mereka dan menjadi penyokong terbesar bagi diri sendiri.

“Inilah yang kami harapkan dengan tema ‘Memperkasa Wanita’ yang disampaikan kepada orang ramai.

“Daripada pemeriksaan awal, diagnosis, rawatan, dan ketahanan, barah buah dada bukanlah satu perjalanan yang harus dilalui oleh wanita secara bersendirian.

“Keluarga, rakan dan saudaramara harus menggalakkan wanita dalam kehidupan mereka menjalani pemeriksaan buah dada secara tetap, dan berada di sisi mereka jika mereka disahkan menghidap barah buah dada,” kata Cik Juliana.

Di samping itu, Puan Ittogi melancarkan lebih 20 kegiatan yang bakal diadakan di seluruh negara sepanjang Oktober bagi menggalakkan dan meningkatkan lagi kesedaran tentang ujian mamogram.

Menurut Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional 2023, hanya sekitar 30 peratus wanita Singapura berusia antara 50 dengan 69 tahun telah menjalani ujian mamogram dalam tempoh dua tahun yang lalu.

Ini merupakan satu trend penurunan berbanding tahun sebelumnya.

​Menurut tinjauan itu, kadar penyertaan pemeriksaan barah buah dada dalam kalangan masyarakat Melayu adalah paling rendah dalam tempoh tiga tahun, dengan hanya 16.9 peratus berbuat demikian.

Kadar pemeriksaan yang rendah dalam kalangan wanita di Singapura boleh dikaitkan dengan beberapa faktor, antaranya termasuk rasa kurang perlu menjalani pemeriksaan mamogram,takut berasa sakit apabila menjalaninya dan apabila mendapat tahu keputusan diagnosis.
















2024/11/12
Last Updated on