SharePoint
A- A A+
Home > About TTSH > News > Bergegas pulang Singapura untuk bantu usaha atasi Covid-19

BH-20201202-1.jpg

Berita Harian (2 December 2020)

APABILA beliau menyedari betapa seriusnya pandemik Covid-19 yang menular di Singapura awal tahun ini, Cik Shahidah Suhaimy terus meninggalkan kerja menyelam dan pemuliharaan marin yang dijalankannya di Koh Tao, Thailand, untuk pulang ke Singapura.

Ini kerana beliau – yang sebelum ini pernah bertugas sebagai jururawat – ingin menyumbang kepada usaha negara ini memerangi Covid-19 di barisan depan.

“Saya sedar akan betapa seriusnya pandemik ini di peringkat awal, sekitar tempoh Singapura melaporkan beberapa pesakit pertama Covid-19 di sini.

“Saya tahu Singapura akan memerlukan lebih ramai jururawat. Saya boleh kekal di Koh Tao yang bebas daripada koronavirus itu hingga sekarang tetapi saya mahu kembali ke sini untuk bantu.

“Secara kebetulan juga, dua hari selepas saya menaiki penerbangan dari Koh Samui dekat Koh Tao, penerbangan keluar masuk dari sana dihentikan dan Thailand pula menutup sempadannya,” ujar Cik Shahidah, 30 tahun.

Sekembali ke Singapura, beliau berkhidmat di kemudahan penjagaan masyarakat (CCF) di Singapore Expo selama lebih empat bulan selepas selesai menjalani 14 hari Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) di rumah.

Beliau merupakan antara lapan wanita yang diiktiraf dengan anugerah berprestij Her World Women Of The Year tahun ini.

Ini merupakan kali pertama majalah Her World menyampaikan anugerah tersebut – yang menggabungkan anugerah Woman of the Year dan Young Woman Achiever.

Buat kali pertama dalam 29 tahun, Her World memutuskan untuk mengiktiraf bukan satu atau dua individu sahaja tetapi sekumpulan lapan wanita sempena tahun yang luar biasa ini di tengah-tengah pandemik Covid-19.

Mereka memainkan peranan penting dalam usaha Singapura memerangi Covid- 19 menerusi inisiatif, pencapaian dan sumbangan mereka.

Mereka juga diraikan sebagai suri teladan dari segi kekuatan, kepimpinan dan inspirasi.

Cik Shahidah kini berkhidmat sebagai jururawat sepenuh masa di jabatan kecemasan Hospital Tan Tock Seng (TTSH) sejak 31 Ogos lalu.

BH-20201202.jpg

Ketua SPH Magazines, Encik Eugene Wee, berkata Her World sentiasa berusaha memperkasa wanita moden supaya mereka boleh menjadi sumber inspirasi bagi masyarakat dan merintis jalan bagi kaum Hawa lain.

“Sedang Singapura berusaha mengatasi pandemik ini, kami berharap penerima Women of the Year 2020 yang istimewa ini akan terus memimpin dan mempengaruh ramai lagi untuk membentuk laluan mereka sendiri dan menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

Bagi Cik Shahidah, beliau amat bersyukur dan rasa rendah hati dipilih menerima anugerah itu bersama tujuh wanita lain tahun ini.

“Terdapat ramai individu seperti saya yang kembali berkhidmat sebagai jururawat... untuk membantu warga Singapura.

“Pengiktirafan ini juga menunjukkan bahawa langkah saya pulang ke Singapura untuk membantu adalah satu keputusan yang tepat,” ujarnya.
















2020/12/17
Last Updated on