SharePoint
A- A A+
Home > About TTSH > News > Berminat pada demensia sejak jalani latihan geriatrik
PENDUKUNG WARGA EMAS: Dr Noorhazlina berkongsi dengan menceburi bidang geriatrik, beliau berharap dapat terus membantu dan membuat perubahan yang positif bagi golongan warga emas serta mereka yang menghidapi demensia. – Foto TTSH

Berita Harian (27 June 2021)

DENGAN minat besar kepada disiplin yang berkaitan dengan perubatan berbanding dengan disiplin berkaitan dengan pembedahan, Dr Noorhazlina Ali pada awalnya tidak pasti kepakaran perubatan mana yang beliau ingin ceburi.

Jika memohon jawatan klinikal di Perubatan Geriatrik di Hospital Tan Tock Seng, Dr Noorhazlina berkongsi beliau berpeluang merawat golongan warga emas dan menguruskannya secara holistik.

Bercita-cita untuk menjadi suara bagi generasi tersebut, Dr Noorhazlina mengatakan bahawa pengalamannya di jabatan itu telah menyemarakkan minatnya untuk terus merawat pesakitnya dan membuat perubahan dalam kehidupan mereka.

Menceburi bidang geriatrik

Dalam satu wawancara melalui emel, Dr Noorhazlina berkongsi bahawa beliau mula menceburi bidang ini ketika penyelianya telah mendorongnya untuk mencuba perubatan geriatrik semasa pusingan klinikal pada tahun keduanya sebagai pegawai perubatan.

“Beliau berkata dengan keperibadian saya, saya mungkin sesuai dengan bidang tersebut.

“Jadi saya pun memohon bagi kedudukan klinikal di Perubatan Geriatrik di Hospital Tan Tock Seng dan berada di sana selama enam bulan,” kongsi Perunding Kanan dan Ketua Perkhidmatan Kognisi dan Gangguan Ingatan, Jabatan Perubatan Geriatrik, Hospital Tan Tock Seng itu.

Katanya, ketika berpeluang untuk menguruskan keperluan perubatan, fungi dan sosial warga emas, ia mendorongnya untuk terus mendalami pengetahuannya dalam kepakaran ini.

“Terdapat pelbagai motivasi bagi saya sebenarnya. Ini termasuk faktor Intrinsik dan Ekstrinsik.

“Saya berminat mempelajari mengenai demensia semasa saya masih menjalani latihan di pejabat ini dan terus bersemangat untuk menyokong para pesakit yang menghidapi demensia serta pengasuh yang menjaga mereka.

“Boleh katakan, saya pun mempunyai hati yang lembut bagi golongan warga emas dan sebagai pakar geriatrik, ia menjadi salah satu cara saya dapat menjaga mereka serta menjadi suara bagi mereka,” jelasnya.

Bekerja di samping pakar geriatrik yang lain selama beberapa jawatan klinikal sebagai pegawai perubatan selama lima tahun dengan peluang berharga untuk merawat warga emas, Dr Noorhazlina akhirnya membuat keputusan menceburi bidang Perubatan Geriatrik sebagai pelatih pakar lanjutan (Pendaftar) setelah lulus peperiksaannya.

Demensia dalam masyarakat Melayu

Memandangkan penduduk yang semakin meningkat tua di Singapura, Dr Noorhazlina berkata terdapat kemungkinan mereka yang didiagnosis dengan demensia akan terus meningkat, katanya.

Sebagai pakar demensia, beliau menambah bahawa beliau kini melihat peningkatan trend pesakit Melayu/Islam yang mencari rawatan dan bantuan untuk masalah berkaitan kognisi.

Katanya, ini boleh dikaitkan dengan kesedaran masyarakat yang semakin meningkat terhadap demensia melalui pelbagai usaha jangkauan masyarakat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, seperti perbincangan awam.

Selain itu, Dr Noorhazlina yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Persatuan Penyakit Alzheimer (ADA) berkata sifat menghormati warga emas dalam masyarakat kita turut menjadi sesuatu yang penting dalam memastikan mereka yang menghidapi demensia menerima bantuan yang mereka perlukan.

“Beberapa kekuatan terpuji dalam masyarakat kita adalah sikap berbakti kepada orang tua mereka, penglibatan keluarga besar dalam menyediakan perawatan demensia tidak formal, dan penerimaan mereka terhadap sesuatu penderitaan sebagai cabaran dari segi agama.

“Dengan kepercayaan agama yang kuat, ia memudahkan mereka menerima diagnosis demensia dan memberi rawatan demensia kepada orang yang mereka sayangi dengan mendapatkan bantuan daripada ahli keluarga dan saudara-mara,” kongsinya.

Usaha lain yang harus dilakukan

Meskipun kini terdapat banyak sumber dan informasi yang berlainan untuk menyokong mereka yang menghidapi demensia dan serta menolong pengasuh menangani keadaan, masih banyak lagi yang boleh dilakukan, kata Dr Noorhazlina.

Menurutnya, penjagaan perlu lebih bersepadu dan mungkin lebih berasaskan hubungan daripada perubatan.

“Pengasuh atau mereka yang menghidapi demensia mungkin tidak menyedari pelbagai perkhidmatan masyarakat atau sumber yang ada, atau cara memanfaatkan perkhidmatan ini.

“Penyelarasan perawatan demensia yang lebih baik juga diperlukan untuk memastikan orang yang menghidap demensia dan pengasuh mereka dapat menyesuaikan diri dengan perubahan keperluan dalam perawatan demensia seiring dengan penyakit yang progresif ini,” katanya.

Tambahnya, ia juga penting untuk masyarakat mempunyai minda terbuka untuk menerima mereka yang menghidapi demensia di kalangan masyarakat kita.

“Salah satu cara untuk melakukan ini adalah dengan mengubah cara kita melihat mereka yang menghidapi demensia, dan memberi tumpuan kepada aspek yang positif dan bukannya negatif.

Beberapa kekuatan terpuji dalam masyarakat kita adalah sikap berbakti kepada orang tua mereka, penglibatan keluarga besar dalam menyediakan perawatan demensia tidak formal, dan penerimaan mereka terhadap sesuatu penderitaan sebagai cabaran dari segi agama.

Dengan kepercayaan agama yang kuat, ia memudahkan mereka menerima diagnosis demensia dan memberi rawatan demensia kepada orang yang mereka sayangi dengan mendapatkan bantuan daripada ahli keluarga dan saudara-mara.

- Dr Noorhazlina Ali, Perunding Kanan dan Ketua Perkhidmatan Kognisi dan Gangguan Ingatan, Jabatan Perubatan Geriatrik, Hospital Tan Tock Seng.
















2021/07/12
Last Updated on