SharePoint
A- A A+
Home > About TTSH > News > Jururawat pernah mahu berhenti kerja kini selesa sebagai mentor
PEMBIMBING YANG MENDENGAR: Cik Nirmala menubuhkan sistem pendamping yang memberi peluang kepada jururawat baru untuk berdamping dengan kakitangan kanan agar mereka dapat belajar sambil bekerja dan membuat mereka lebih selesa dengan sekitaran baru serta tugasan yang pantas. – Foto-foto BH oleh KHALID BABA

Penerima Anugerah Presiden bagi Jururawat perkenal inisiatif bagi pastikan kesejahteraan mental jururawat muda

Berita Harian ( 17 September 2022)

SEPANJANG 40 tahun kerjayanya dalam sektor kejururawatan, Cik Nirmala Karmaroon hampir ingin meninggalkan pekerjaannya itu sebanyak dua kali.

Mujur beliau yang kini Timbalan Pengarah Pembangunan Strategik bagi Kejururawatan di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) itu mendapat sokongan padu daripada para mentor selain bapanya sendiri agar meneruskan kerjaya yang mulia itu.

“Semasa mula sertai bidang ini, saya berusia 19 tahun dan saya tidak banyak persiapan mental ketika itu. “Lagi pun saya rasa sangsi dengan kemampuan profesional saya dan hampir menarik diri apabila saya mula- mula sertai sebuah hospital.

“Syukur bapa dan para mentor yakin dengan diri saya dan memberi saya dorongan,” katanya.

Pengalaman ini bak meninggalkan kenangan penting dalam dirinya dan kini, beliau sentiasa mendengar rintihan jururawat muda lain, sambil memantau kesejahteraan mental mereka dan membimbing mereka dalam pembangunan profesional masing-masing.

Beliau akui bahawa kadar mereka yang meninggalkan kerjaya kejururawatan memang tinggi semasa pandemik.

Ini kerana beban kerja yang bertambah kerana ada yang berhenti atas sebab keluarga dan sebab peribadi lain.

Ini memberi tekanan ke atas hubungan dinamik kekeluargaan dan tekanan negatif ke atas para jururawat terutamanya mereka yang berasal dari luar negara.

Bagi mengatasinya, ibu empat anak yang sudah bergelar nenek itu berkata TTSH telah memperkenalkan inisiatif bagi menambah nilai kepada tenaga kerja termasuk menarik jururawat lokum atau jururawat sementara serta penolong jagaan kesihatan. “Menerusi skim lokum ini, kami merekrut bekas jururawat kami yang lebih suka bekerja dengan susunan kerja lebih fleksibel. Ini dapat menambah kepada keperluan kakitangan kami,” katanya.

Beliau turut berikan pandangan agar usaha berterusan mereka semula dan mengoptimumkan peranan jururawat menerusi latihan yang lebih luas agar jururawat mencapai tahap kecekapan lebih tinggi.

Ditanya pula tentang bagaimana beliau memanfaatkan pengalaman selama bertahun selaku jururawat bagi peranan pengurusan yang baru dipikulnya, Cik Nirmala berkata: “Saya pernah lalui apa yang mereka sedang rasakan dan sudah pasti saya akan peruntukkan masa untuk berbual dengan jururawat muda, memahami cabaran mereka dan memberi sokongan pada mereka.

“Saya sentiasa pastikan yang ‘pintu pejabat saya sentiasa terbuka’ untuk mereka,” katanya kepada wartawan. Kini selepas beliau beralih ke bidang pengurusan, Cik Nirmala sering memberi galakan kepada para penyelia untuk memikul peranan yang serupa.

“Sebagai Timbalan Pengarah Kejururawatan dalam Pembangunan Strategik, saya menggalak amalan ini secara sistematik di seluruh TTSH.

“Seperti contoh saya tubuhkan sistem pendamping yang memberi peluang jururawat baru untuk berdamping dengan kakitangan kanan agar mereka dapat belajar sambil bekerja dan membuat mereka lebih selesa dengan sekitaran baru serta tugasan yang pantas.

“Budaya saling menyokong ini membantu kami mengatasi permintaan fizikal dan emosi yang tinggi semasa berhadapan dengan pandemik seperti Covid-19 dan menyatukan kami bak sebuah kampung.

“Kami menjadi lebih berdaya tahan dan tidak akan luntur,” tambahnya. Tidak hairanlah di atas dedikasinya itu, Cik Nirmala yang sudah bekerja dalam perkhidmatan kejururawatan sejak 40 tahun lalu, telah terpilih selaku salah seorang daripada enam jururawat yang menerima Anugerah Presiden bagi Jururawat untuk tahun ini – pengiktirafan tertinggi dalam kerjaya kejururawatan Singapura. Sepanjang kerjayanya beliau telah bertugas di Unit Jagaan Rapi (ICU) Neurologi, Unit Kebergantungan Tinggi (HDU) dan Wad Biasa, sebelum dilantik menjadi Penolong Pengarah Kejururawatan yang merancang tenaga kerja.

Apabila dilantik pula menjadi Timbalan Pengarah Pembangunan Strategik, beliau mainkan peranan yang lebih termasuk dalam pendidikan kejururawatan, amalan klinikal, perancangan tenaga kerja, selain usaha informatik dan penyelidikan.

Penolong Pengarah Pendidikan dan Pembangunan Kejururawatan TTSH, Cik Umadevi Panneer Selvam, 40 tahun, yang ditemu ramah wartawan mengakui bahawa beliau sendiri telah memohon mendapatkan Cik Nirmala selaku mentornya berdasarkan visi kepimpinannya yang kukuh serta pemahamannya tentang operasi kejururawatan.

“Cik Nirmala mampu kekal tenang setiap kali berhadapan dengan situasi pengurusan yang mencabar.

“Beliau sering mendengar apa yang saya kongsi dan menambah kepada keputusan yang dibuat.

“Lebih penting lagi, beliau beri bimbingan dengan pandangan yang tanpa andaian dan itu membuat saya berasa selesa dengannya,” tambah beliau.

Bh-20220917-3.jpg

Saya pernah lalui apa yang mereka sedang rasakan dan sudah pasti saya akan peruntukkan masa untuk berbual dengan jururawat muda, memahami cabaran mereka dan memberi sokongan pada mereka. Saya sentiasa pastikan yang ‘pintu pejabat saya sentiasa terbuka’ untuk mereka.”

– Cik Nirmala Karmaroon, Timbalan Pengarah Pembangunan Strategik bagi Kejururawatan di Hospital Tan Tock Seng (TTSH).
















2022/09/28
Last Updated on