SharePoint
A- A A+
Home > About TTSH > News > Jururawat terus gigih berkhidmat dan jadi ketua keluarga lepas suami kena strok

"Antara tempoh paling mencabar adalah semasa suami saya baru diserang strok dan apabila saya sedar keluarga saya bergantung sepenuhnya pada saya. Lagi dengan anak-anak yang semuanya masih bersekolah pada masa itu, saya perlu menguruskan hal di rumah dan juga cuba untuk tak abaikan pendidikan mereka selepas habis bertugas."

- Cik Habibah Tamby, jururawat berdaftar kanan di wad pergantungan tinggi di ICU Hospital Tan Tock Seng.

Berita Harian (8 March 2022)

SEBAGAI seorang jururawat veteran di Unit Jagaan Rapi (ICU), Cik Habibah Tamby perlu mencekalkan diri setiap hari bagi menghadapi pelbagai kes pesakit serius dan kritikal.

Kecekalan dan daya tahan diri yang telah dipupuk melalui pengalaman bekerja selama lebih 30 tahun itu ternyata turut memainkan peranan yang penting membantu beliau mengharungai liku-liku kehidupan.

Sejak suaminya diserang strok lebih 20 tahun lalu, Cik Habibah merupakan satu-satunya pencari nafkah bagi menyara kehidupan keluarga, termasuk enam orang anak yang masih tinggal bersamanya pada masa itu.

“Antara tempoh paling mencabar adalah semasa suami saya baru diserang strok dan apabila saya sedar keluarga saya bergantung sepenuhnya pada saya.

“Lagi dengan anak-anak yang semuanya masih bersekolah pada masa itu, saya perlu menguruskan hal di rumah dan juga cuba untuk tak abaikan pendidikan mereka selepas habis bertugas,” katanya.

Cik Habibah turut menjalani beberapa kursus untuk mempelajari kemahiran baru waktu itu, seperti kursus buat kek dan juga urut, dan mencari masa untuk menawarkan khidmat tersebut demi menambah pendapatannya. Meskipun perlu mengimbangi tugas di tempat kerja dan juga peranan berbeza di rumah- sebagai isteri, ibu dan juga penjaga- minat Cik Habibah dalam bidang yang diceburinya itu mendorong beliau terus kekal berdedikasi dan komited dalam menjalankan tugasnya dan menaiki tangga kerjaya.

Beliau kini bertugas sebagai jururawat berdaftar kanan di wad pergantungan tinggi di ICU Hospital Tan Tock Seng di mana beliau memantau keadaan pesakit yang memerlukan rawatan rapi di ICU.

“Ada kalanya bila ada terlalu banyak perkara yang berlaku di tempat kerja, memang kita rasa tertekan dan pernah terlintas di fikiran saya untuk tukar kerjaya.

“Tapi, saya berpegang pada nasihat arwah ibu yang selalu mengingatkan saya untuk kekal positif dalam menghadapi cabaran dan supaya jangan lari dari masalah yang kita hadapi, itu yang mendorong saya untuk terus kekal dalam bidang ini,” katanya.

Selain itu, pengalaman pahit manis bersama pesakit di wadnya turut menjadi pembakar semangat bagi Cik Habibah terus berkhidmat.

Salah satu kejadian yang tidak dapat beliau lupakan adalah apabila salah seorang pesakit di ICU yang lama tidak sedarkan diri, kembali ke wad untuk mencarinya selepas keluar hospital.

“Pesakit tersebut berada di ICU sekitar enam hingga sembilan bulan, dan ramai yang tak jangka beliau pulih dan dapat keluar hospital.

“Yang saya terkejut beliau kembali ke wad itu selepas pulih untuk mengucapkan terima kasih kepada saya dan rakan kerja lain. Melihat beliau yang sebelum ini sakit teruk dah jadi sihat buat saya amat gembira dan bersyukur,” ujarnya sambil menambah ini menunjukkan pesakit menghargai khidmat jururawat mereka.

Pengalamannya selama 34 tahun dalam bidang tersebut juga kini dimanfaatkan dalam melatih jururawat baru di wadnya.

Cik Habibah turut akui dengan keadaan sektor penjagaan kesihatan yang dirundung pandemik ini, ramai kakitangan sektor itu berasa tertekan dan ada yang ingin meninggalkan pekerjaan mereka.

“Memang kita perlu banyak bersabar bila bekerja dalam bidang ini, dan terus berfikiran positif dalam hadapi cabaran harian di tempat kerja.

“Ada yang rasa tertekan dan ingin tinggalkan sektor ini, tapi sektor lain juga ada cabarannya tersendiri.

“Tapi saya beritahu mereka buat apa yang mereka rasa baik untuk diri mereka sendiri,” katanya.

















2022/03/08
Last Updated on