SharePoint
A- A A+
Home > About TTSH > News > Kajian: 160 keracunan dek makan ikan mentah pada 2015

Berita Harian (11 Julai 2019)

BH20190711.jpgPARA penyelidik setempat telah menemui sejenis bakteria berjangkit yang menyebabkan lebih 160 orang di sini mengalami penularan keracunan dalam darah akibat makan ikan air tawar yang tidak dimasak pada 2015.

Bakteria tersebut, yang menyebabkan mereka dijangkiti mengalami demam, sakit sendi dan meningitis juga menyebabkan seorang lelaki berusia 50 tahun hilang kesemua kaki dan tangannya. Seorang lagi lelaki berusia 54 tahun mengalami koma selama dua minggu menyusuli wabak tersebut.

Kajian pimpinan Hospital Tan Tock Seng (TTSH) itu mendapati bakteria Streptococus Kumpulan B (GBS) ST 283 merupakan jenis yang belum pernah dikesan sebelum ini – yang telah menyebabkan penyakit dalam kalangan manusia sejak lebih dua dekad lalu, selepas mereka makan ikan air tawar yang didapati dari Asia Tenggara.

Menggunakan analisis DNA koleksi dari Asia seawal 1995, penyelidik mendapati jangkitan bakteria ST283 ini berlaku di Laos, Thailand, Vietnam dan Singapura.

Sedang kebanyakan kumpulan GBS tidak menyebabkan penyakit dalam kalangan orang dewasa yang sihat, ST283 lebih bahaya, membentuk sekitar 76 peratus GBS yang menjejas manusia di Laos, 73 peratus di Thailand, 31 peratus di Vietnam dan 23 peratus di Singapura.

Konsultan Kanan Jabatan Perubatan Makmal TTSH, yang juga ketua penyelidik kajian tersebut, Dr Timothy Barkham, berkata: “Penyelidikan kami mendapati sejenis penyakit yang tidak dikesan sebelum ini.

“Kajian yang dijalankan sejauh ini hanya dikaitkan dengan ikan jenis tilapia yang dikesan dengan bakteria tersebut. Mesej yang kami ingin sampaikan ialah masak ikan air tawar sebelum dimakan.”

– Ketua penyelidik kajian tersebut, Dr Timothy Barkham.

“Kajian yang dijalankan sejauh ini hanya dikaitkan dengan ikan jenis tilapia yang dikesan dengan bakteria tersebut.

“Mesej yang kami ingin sampaikan ialah masak ikan air tawar sebelum dimakan.”

Beliau menganggarkan kurang 10 pesakit yang dikesan dengan penyakit itu setiap tahun di TTSH sejak 2015.

Pada masa ini, TTSH bekerjasama dengan Institut Genom Singapura (GIS) di bawah naungan institut Agensi Sains, Teknologi dan Kajian (A*Star) bagi menganalisis kajian tersebut.

Saintis Penyelidik Kanan Penyakit Berjangkit, Profesor Swaine Chen, berkata penyakit berjangkit berbeza di serata dunia.

“Kajian terbaru ini menjelaskan mengapa kami tidak tahu tentang GBS ST283 yang hanya dikesan di Asia Tenggara sejak lebih 20 tahun lalu.

“GBS tidak dijangka sebagai penyakit yang berpunca daripada makanan di negara lain, maka tiada sesiapa yang mengkajinya di Asia Tenggara.”

Para penyelidik mendapati antara 2007 dengan 2016, ikan jenis tilapia yang dijangkiti dengan penyakit itu dikesan di 14 tempat ternakan ikan di Malaysia dan Vietnam.

Pada 2015, wabak berlaku di Singapura selepas pelanggan jatuh sakit akibat makan tujuh jenis ikan air tawar termasuk tilapia dan toman.

Menyusuli kejadian tersebut, pemerintah telah melarang semua pegerai daripada menjual ikan air tawar.

Selepas larangan dikuat kuasa, kadar jangkitan merosot. Bakteria itu tidak ditemui dalam ikan air masin, kata Dr Barkham.
















2019/07/11
Last Updated on