Berita Harian (17 May 2020)
Bertugas sebagai pakar fisioterapi di Hospital Tan Tock Seng, Atiq dikerah ke asrama pekerja asing Woodlands Lodge
DALAM gelanggang, srikandi silat ini gagah bersaing demi mengharumkan nama negara. Di luar gelanggang pula, beliau berani berkorban demi membantu negara melawan Covid19.
Pesilat Singapura, Atiq Syazwani Roslan, 27 tahun, tampil secara sukarela untuk ditugaskan di asrama yang didiami pekerja asing. Sejak tiga minggu lalu, pakar fisioterapi di Hospital Tan Tock Seng itu dikerah ke asrama pekerja asing Woodlands Lodge – yang disahkan sebagai salah satu daripada kelompok Covid19 di sini.
Beliau ditugas menjalankan pemeriksaan kesihatan ke atas pekerja asing di pusat perubatan asrama itu.
Mengongsi perasaannya pada awal menggalas tugas itu, Atiq berkata wujud rasa takut dan bimbang kerana bekerja di sekitaran yang terdedah kepada Covid19.
"Tidak dinafikan, ada rasa takut dan ada juga fikir tentang risiko kesihatan bekerja di asrama. "Tetapi, ini adalah peluang sekali dalam seumur hidup untuk saya bantu mereka yang terjejas semasa tempoh mencabar ini," kata Atiq kepada Berita Minggu (BM).
Namun segala perasaan takut itu dapat diatasi srikandi silat ini setelah beberapa hari menyesuaikan diri pada tugas barunya.
Ditanya mana satu yang lebih mencabar – beraksi di gelanggang silat atau bekerja di barisan hadapan menentang koronavirus – Atiq menganggap kededua bidang itu memiliki cabarannya tersendiri.
"Kededuanya adalah minat saya. Bagi silat, saya harus menjalani latihan intensif untuk mencapai matlamat saya manakala bertugas di asrama pekerja asing juga ada pelbagai cabaran," ujarnya.
Beraksi dalam acara tanding Kelas A, Atiq merupakan pemenang pingat perak di Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur dan pingat gangsa di temasya 2019 di Manila.
Tidak dinafikan, ada rasa takut dan ada juga fikir tentang risiko kesihatan bekerja di asrama. Tetapi, ini adalah peluang sekali dalam seumur hidup untuk saya bantu mereka yang terjejas semasa tempoh mencabar ini... Kededuanya adalah minat saya. Bagi silat, saya harus menjalani latihan intensif untuk mencapai matlamat saya manakala bertugas di asrama pekerja asing juga ada pelbagai cabaran...Walaupun saya seorang pakar fisioterapi, tidak kira sama ada anda bertugas di dalam atau luar bidang perubatan, anda boleh bantu menyumbang kepada usaha menangani Covid19 negara.
– Pesilat negara, Atiq Syazwani Roslan.
Atiq menambah memakai alat perlindungan merupakan cabaran utamanya sebagai petugas di barisan hadapan.
Lebih lebih lagi sewaktu Ramadan.
"Memakai Peralatan Perlindungan Diri (PPE), pelitup N95 dan pelindung muka selama tiga jam ketika bertugas boleh dikatakan agak mencabar dan memenatkan. Ia macam lari maraton," kata Atiq.
Meskipun itu, beliau menambah pelan diet pemakanan yang dipelajari di Institut Sukan Singapura (SSI) bantu mengekalkan hidrasi dan tenaga sepanjang hari.
Pemenang pingat perak dan gangsa Sukan SEA itu juga perlu mematuhi langkah keselamatan ketat yang ditetapkan.
Ini termasuk memastikan beliau telah membersihkan diri sebelum pulang ke rumah.
Apabila di rumah pula, beliau elak berkongsi makanan dan akan mengasingkan diri daripada keluarganya.
"Perkara pertama yang saya akan lakukan apabila wabak Covid19 ini berakhir adalah untuk memeluk ibu saya," kongsinya.
Menggambarkan pengalamannya sebagai "sesuatu yang tidak dapat dilupakan", Atiq, lulusan Institut Teknologi Singapura (SIT) yang telah berkecimpung dalam fisioterapi sejak lima tahun lalu, menambah:
"Walaupun saya seorang pakar fisioterapi, tidak kira sama ada anda bertugas di dalam atau luar bidang perubatan, anda boleh bantu menyumbang kepada usaha menangani Covid19 negara."
Keberanian dan pengorbanan Atiq mendapat pujian Speaker Parlimen Encik Tan ChuanJin yang menganggap pesilat itu sebagai "pejuang dan pembela kita".
Dalam perkongsiannya di Facebook pada Ahad lalu, Encik Tan, yang juga Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC), turut mengajak orang ramai supaya memberikan sokongan kepada petugas di barisan hadapan.
"Ingatlah tentang anak anak kita di barisan hadapan yang berusaha sedaya upaya untuk menjaga keselamatan kita. Berilah mereka katakata perangsang!"