SharePoint
A- A A+
Home > About TTSH > News > Sumbangan ahli fisioterapi kongsi kepakaran diiktiraf
TUNJUK AJAR: Cik Suhana Salim (kanan) berkongsi ilmu dengan pelajar tahun keempat Institut Teknologi Singapura (SIT) Encik Ivan Tan Yong Tsu dan Cik Tan Yan Ni, di klinik Fisioterapi di Hospital Tan Tock Seng. – Foto BH oleh LIM YAOHUI

Berita Harian (8 September 2020)

APABILA Cik Suhana Salim mula berjinak-jinak dalam bidang fisioterapi, tidak ramai teman seangkatannya yang cenderung dalam bidang itu.

Malah beliau sendiri mengetahui tentang kerjaya itu secara tidak sengaja ketika menemani seorang teman yang mengalami kecederaan dan memerlukan bantuan ahli fisioterapi untuk kembali pulih.

Dari situ, berputiklah minat dalam bidang ini sehingga beliau dilamar menjadi pendidik bagi lulusan baru dari institut pengajian tinggi untuk memahami lebih lanjut tentang fisioterapi ini.

Baru-baru ini, Cik Suhana, 49 tahun, merupakan antara 253 pendidik jagaan kesihatan yang telah diiktiraf Kumpulan Jagaan Kesihatan Nasional (NHG) semasa majlis anugerah Hari Guru yang diadakan secara dalam talian.

Ia bertujuan meraikan sumbangan golongan profesional jagaan kesihatan daripada perubatan, kejururawatan, kesihatan bersekutu dan farmasi dalam memupuk dan membimbing pelajar dan kakitangan lebih muda.

Cik Suhana, ibu lima anak dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang fisioterapi, menerima Anugerah Pemimpin Pendidikan NHG.

Anugerah itu bertujuan mengiktiraf kakitangan NHG yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam kepimpinan strategi dan pendidikan merentasi berbilang disiplin jagaan kesihatan.

BH-20200908B.jpg

Cik Suhana, yang kini seorang Ali Fisioterapi Utama di Hospital Tan Tock Seng (TTSH), menerajui bersama pembangunan program Bantuan Terapi Dipertingkat rentas institusi antara TTSH dengan Hospital Ren Ci yang melatih penolong terapi untuk menyokong pakar terapi melalui usaha mendekati pesakit dan penjaga mereka dengan lebih berkesan.

Cik Suhana juga bekerjasama rapat dengan Institut Teknologi Singapura (SIT) untuk melaksanakan pendidikan amalan perubatan dan penilaian bagi program fisioterapi untuk mahasiswa.

“Peranan saya sebagai pendidik adalah menjadi jambatan untuk menggabungkan teori yang telah dipelajari pelajar semasa di sekolah dan mengaitkannya dengan pengalaman perubatan yang terdapat di sini,” kongsi Cik Suhana.

Terharu dengan anugerah yang diterima, beliau berkata kepuasannya adalah apabila melihat anak didikannya dapat berdikari melaksanakan tugas.

“Saya berasa gembira apabila melihat pelajar dapat berdikari melaksanakan tugas tanpa perlu diselia.

“Melihat bagaimana mereka telah berkembang dan maju ke hadapan dalam bidang ini, merupakan satu kepuasan dan pencapaian terbesar bagi saya,” katanya lagi.

Sebanyak 11 kategori telah disampaikan termasuk Anugerah Pujian Khas yang mengiktiraf fakulti dan pendidik NHG yang berusaha melebihi tugas mereka untuk mengajar dan menyokong pelajar dan rakan setugas semasa krisis Covid19.

NHG mempunyai sekitar 3,597 pendidik jagaan kesihatan khas merentasi pelbagai disipilin.
















2020/09/09
Last Updated on