(Berita Harian - 20 October 2018) - SATU program sukarela bagi warga emas yang berminat membantu pesakit di hospital telah dilancarkan oleh Hospital Tan Tock Seng (TTSH) semalam.
Sukarelawan akan menjalani kursus latihan yang dibangunkan kakitangan jagaan kesihatan TTSH dan Pusat Pengaktifan Kesihatan (CHA), sebuah institut kajian dan latihan bagi sukarelawan, lapor akhbar The Straits Times.
Selepas melengkapkan latihan, sukarelawan ini akan dihantar untuk membantu pesakit di klinik mata dan pesakit yang menjalani pembedahan penggantian lutut penuh, kata hospital itu.
Mengumumkan inisiatif itu semalam, Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan (MOH), Encik Chan Heng Kee, berkata ini adalah satu contoh bagaimana warga emas boleh kekal aktif dan berjasa kepada orang lain pada hari tua.
“Saya harap warga emas akan menyertai program ini dan menikmati proses mempelajari kemahiran baru dan membantu orang lain,” ujar Encik Chan dalam ucapannya di Sidang Pesakit Singapura yang diadakan di TTSH.
Penasihat klinik di CHA, Dr Mark Chan, berkata program perintis ini berbeza daripada program sukarela lain bagi warga emas. Biasanya, warga emas yang menjalani program sukarela akan menjalin hubungan sebagai kawan dengan pesakit atau menyertai kegiatan tertentu bersama-sama.
Namun, menurut Dr Mark, sukarelawan yang menyertai program di TTSH itu akan diajar kemahiran untuk membantu sebahagian operasi di klinik, seperti mencatit sejarah perubatan pesakit dan menunjukkan cara terbaik menggunakan ubat mata.
“Warga emas lebih sedar tentang isu perubatan dan mampu menjalin hubungan lebih mesra dengan pesakit, berbanding relawan lebih muda yang kurang berpengalaman,” kata beliau.
Temasek Foundation Cares, pertubuhan tidak mencari keuntungan (NPO), telah menderma $293,000 bagi membangunkan program itu.
Digelar Temasek Foundation Cares – Champs, program itu dijadual berlangsung dari September lalu hingga Ogos 2020 dan dijangka membantu kira-kira 13,300 pesakit warga emas.
Program itu berhasrat mendapatkan 160 relawan, yang antara lain akan dilatih untuk membantu pesakit lebih berusia menyesuaikan diri dengan sekitaran baru, membantu mereka duduk dan menggalakkan mereka minum air.
Menurut pihak hospital, warga emas yang berminat menjadi relawan akan diwawancara.
Mereka yang dipilih perlu menyertai Program Kenal Suai Relawan dan perlu berupaya berkhidmat sekurang-kurangnya selama enam bulan.