Berita Harian (10 May 2024)
Percubaan selama dua bulan untuk
membolehkan jururawat mempunyai
waktu kerja lebih fleksibel
di Hospital Tan Tock Seng (TTSH)
kini akan diperluas kepada lebih
banyak wad pesakit, kata hospital
itu.
Daripada hanya mengikut tiga
waktu kerja giliran yang biasa, jururawat
kini mempunyai akses kepada
enam syif tambahan.
Ia membolehkan jururawat sepenuh
masa menggabungkan kededua
syif untuk memperoleh keseimbangan
kehidupan bekerja.
Dalam kenyataannya pada 9
Mei, TTSH berkata ia merintis daya
usaha, Liquid Nursing, di satu
wad pada Oktober 2023, dan kini
telah melancarkannya ke tiga wad
lain.
Pada masa hadapan, hospital itu
merancang mengembangkan usaha
tersebut ke lebih banyak wad
pesakit.
Liquid Nursing bertujuan memberi
jururawat keseimbangan kehidupan
bekerja dengan pilihan syif
fleksibel selain memperkukuh cara
jururawat di wad menawarkan penjagaan
sebagai sepasukan.
Ia menyediakan kepelbagaian
dalam syif dan peranan seorang jururawat.
Di bawah daya usaha itu, bidang
kejururawatan direka semula di bawah
dua peranan yang luas – jururawat
utama dan jururawat fleksi –
dan tambahan enam syif fleksibel.
Jururawat utama bertugas
mengikut waktu kerja giliran yang
rutin dengan kewajipan penjagaan
penuh, manakala jururawat fleksi
mengendalikan syif fleksibel dengan
peranan modular dan tugas
penjagaan khusus.
Syif rutin merangkumi tiga waktu
giliran kerja – syif pagi dari 7 pagi
hingga 3 petang (lapan jam); syif
petang dari 1 petang hingga 9 malam
(lapan jam); syif malam dari 8
malam hingga 8 pagi (12 jam).
Jadual syif fleksibel adalah dari
8 pagi hingga 4.30 petang (8.5
jam); 10 pagi hingga 7 malam (sembilan
jam); 12 tengah hari hingga 7
malam (tujuh jam); 2 petang hingga
8 malam (enam jam); 7 pagi
hingga 7 malam (12 jam) dan syif
empat jam pada waktu fleksibel.
Jururawat sepenuh masa TTSH
kini boleh menggabungkan kededua
syif rutin dan fleksibel setiap
bulan, kata TTSH.
Pendekatan itu bagi membolehkan
jururawat merancang dengan
lebih baik tanggungjawab peribadi
dan keluarga mereka mengikut jadual
kerja, tambahnya.
Jururawat fleksi bertindak selaku
penyokong jururawat utama.
Mereka membantu prosedur di sisi
katil yang kompleks seperti membalut
luka, dan menyediakan sokongan
tambahan seperti latihan
penjaga, dan menghantar pesakit
berulang-alik ke tempat rawatan
mereka.
Jururawat utama pula memberi
tumpuan kepada peranan teras klinikal.
Ia termasuk menyertai rondaan
doktor, penilaian dan mendokumentasi,
komunikasi dengan keluarga,
penyelarasan penjagaan
dan penyerahan syif.
Peranan ‘jururawat prosedur’
juga telah diuji. Ia melibatkan sekumpulan
jururawat terlatih memberikan
sokongan semasa pembedahan
jika terdapat permintaan di
peringkat hospital bagi bantuan
prosedur di sisi katil yang lama, kata
TTSH.
Dengan Liquid Nursing, jururawat
utama dapat menjimatkan kira-
kira 30 hingga 90 minit masa harian
mereka untuk menumpukan
perhatian kepada tugas utama dan
mempunyai masa rehat yang mencukupi
semasa syif, tambah pihak
hospital.
“Sangat menggalakkan untuk
melihat jururawat kami memberi
tindak balas positif terhadap inisiatif
ini, dengan kesungguhan dan
keterujaan yang baru.
“Kerjasama dan semangat setiakawan
yang kini meningkat dalam
kalangan jururawat telah menghasilkan
kecekapan lebih tinggi di
wad, di samping mengekalkan
standard penjagaan tinggi yang sering
mereka banggakan,” kata Penasihat
Projek dan Timbalan Pengarah
Kejururawatan di TTSH, Cik
Sui Huangbo.